~~mymissD....my e-Diary....my HeaRt RaNt$....mai, mai, mai...ChEck iT oUt.....~~

Friday, November 30, 2012

Tiada Jihad di Palestin..??


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhm9DLHP95ccpvhQ-VryDTYrGvo_561jL-6PlFmWnaJXbsh92USSApNuz9c3NulJt0xtFe4uLqotNqOVyG1DJLLs28dqq1p2qiPfdAWAss9goEvvvcHc-pBXDKDcNwvINfiIFQzl-VhsGA/s1600/palestin_stone.jpg


Malaysia digemparkan dengan kenyataan seorang ustaz bahawa tiada jihad di Palestin. Ramai yang share dan menyatakan kebencian terhadap kenyataan itu. Maki hamun pun ada. Ya, saya memahami betapa kita terkilan dengan penyataan sedemikian rupa, dalam keadaan Gaza diserang dan bermandikan darah saban hari. Saat mereka menunjukkan kekentalan mempertahankan bumi pertiwi, tiba-tiba ada yang berkata bahawa tiada jihad di sana, orang Palestin patut keluar dari Palestin, seterusnya dikatakan pula usaha boikot itu sia-sia, dan sebagainya yang jelas tidak mengambil berat akan keadaan semasa.
Justeru ini sekadar coretan saya akan isu ini, sekadar apa yang saya belajar.


1 – Jika Jihad perlukan 2 kali ganda musuh, maka Badar tidak menjadi jihad buat Rasulullah SAW dan para sahabat. Kerana tentera Islam pada ketika itu 313 dan musuh 1000. Ini jelas menunjukkan Idris Sulaiman sudah tersilap mentafsirkan sepotong ayat Al-Quran:
“Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.”Al-Anfal ayat 66.
Ayat ini bukan ayat arahan. Tetapi cuma Allah nak kata semasa berperang itu, seorang daripada kita at least kena tumbangkan dua orang musuh, dengan itu kalau kita berperang dengan angka yang sedikit pun, kita boleh menang. Ini lebih kepada strategi sahaja. Terbukti apabila Allah SWT sendiri ‘mengubah’ strategi itu. Sebelumnya, angka yang Allah SWT letakkan lebih tinggi.
“Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.” Surah Al-Anfal ayat 65.
Seorang kena lawan 10 sebelumnya.
Tetapi Allah mahu meringankan kewajipan ini, lantas dikurangkan seorang lawan dua. Namun yang penting perlu dilihat bahawa keypointnya bukanlah ‘angka’. Kerana ‘angka’ jelas berubah. Tetapi dalam kedua-dua ayat itu, yang kekal sinonim adalah ayat ‘sabar’.
Pendek kata, tentera perlu bersabar dalam menumbangkan musuh walau berapa ramai pun mereka. Jika mereka bersabar, tidak gopoh, mereka kental dan cekal, pastinya tentera yang lebih ramai pun akan mampu mereka tewaskan. Ayat ini fasal ‘strategi’. Bukan fasal berapa lawan berapa baru boleh dikira sebagai jihad.
Justeru kita telah melihat banyak di dalam sejarah Islam selain Perang Badar, yang musuh lebih besar 2 kali ganda dari tentera Islam.
Perang Uhud – 700 tentera Islam VS 3000 tentera Musyrikin Makkah.
Perang Khandaq – 3000 tentera Islam VS 10,000 tentera gabungan Ahzab.
Perang Mu’tah – 3000 tentera Islam VS 200,000 tentera Rom Byzantine.
Banyak contoh bukan?
Apakah itu semua bukan Jihad?

Angka hanyalah strategi. Jihad adalah tindakan kita dalam berjuang di atas jalan Allah SWT. Tiada kena mengena dengan angka yang ramai atau sedikit.

2 – Ustaz tersebut juga berkata seakan-akan di Palestin itu semberono sahaja peperangannya. Lantas dia melihat tiada apa di sana melainkan kegagalan.
Sebenarnya jika kita menyelami keadaan di Palestin, kita tahu HAMAS amat berstrategi. Mereka bukan sahaja mempunyai orang di dalam Palestin. Mereka ada orang di luar Palestin, seperti Khaled Mesy’al untuk membina hubungan baik dan mengangkat suara HAMAS dari luas Palestin.
Mereka mempunyai ketua-ketua yang menyusun strategi perang, agar kekal bertahan di sana. Kita semua tahu apalah yang boleh dibandingkan Gaza yang kecil itu berbanding Israel yang mempunyai pelbagai teknologi dan telah memperhambakan Amerika Syarikat itu.
Jika tanpa strategi, pastinya kita tidak akan melihat Gaza masih ada sekarang.
HAMAS bukan sahaja berperang menggunakan senjata. Mereka juga bersungguh dalam medan politik. Kerana itu mereka memenangi pilihanraya yang lepas hingga Ismail Haniyyeh diangkat menjadi Perdana Menteri.
Bahkan tiada siapa boleh cakap yang HAMAS tiada pengintip di merata tempat sebagai salah satu strategi mereka. Mereka juga giat melatih pelapis-pelapis baru dari masa ke semasa.
Yang mereka ada hanyalah ‘kegagalan’?
Tidak. Setiap kali mereka mampu bertahan dari dihancurkan oleh Israel, itu bukankah satu kemenangan? Justeru negara-negara Islam yang lain mempunyai lebih banyak masa untuk keluar dari kebodohan masing-masing, dan mula bertindak membela saudara mereka di Gaza sana!


3- Orang Palestin patut meninggalkan Palestin?
Alasannya adalah untuk menyusun strategi?
Inilah pentingnya memahami fiqh semasa. Kita bukan lagi di zaman orang Islam minoriti. Kita ada angka yang besar di atas muka bumi ini. Tinggalnya ramai antara kita berdiam diri dan tidak membantu. Kita banyak negara Islam, tetapi kebanyakannya berdiam diri. Kemudian kita nak orang Palestin tinggalkan tanah suci itu untuk dicemari Zionis?
Seperti apabila ada gengster pecah masuk rumah kawan kita, kemudian kita kata pada kawan kita: “Hei, biarlah dia. Kau kena keluar dari rumah itu.” Begitu? Mustahil bukan?
Kita ramai. Yang patut kita suruh ‘bergerak’ adalah orang-orang Islam agar mempunyai kesedaran, lantas bergerak membantu sahabat kita di Palestin. Bukannya kita suruh orang Palestin ‘bergerak’ keluar dari tanah mereka.
Mengapakah mereka, orang-orang Palestin itu bersungguh mempertahankan tanah itu, menggadaikan nyawa mereka?
Apakah kita lupa bahawa di sana terdapat Baitul Maqdis, tanah suci kita?
Apakah hanya kerana Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi telah terjaga rapi, penuh teknologi, kita boleh mengabaikan Masjidil Al-Aqsa dan membiarkan ianya ternoda?
Orang di Gaza sana, di Palestin sana, memahami tanggungjawab mereka untuk mempertahankan tanah itu.
Mereka sedang melaksanakan apa yang patut kita laksanakan, apabila ada tanah ummat kita dicabuli.
Dan kita mengkritik mereka, seterusnya mencadangkan agar mereka meninggalkan tanah suci itu?

4 – Boikot adalah tindakan yang tidak bermakna katanya. Benarkah?
Sekurang-kurangnya, kita berusaha bukan? Ada strategi untuk memberikan efek kepada ekonomi mereka. Tinggal ramai nak buat atau tidak sahaja. Maka sepatutnya bukan kita perlekehkan usaha, sepatutnya kita kritik orang yang tidak mahu bersama-sama berusaha.
Ini seakan-akan bila Rasulullah SAW nak keluar berjihad dan ada yang tidak mahu pergi kerana panas, maka kita kata – “Sebaiknya tak payah pergi, sebab panas. Tak logik betul arahan Rasulullah itu!” Seakan-akan begitu pula. Sedangkan kita sepatutnya mengkritik orang-orang yang memberikan alasan yang lemah dan tidak mahu berusaha. Lihatlah Allah SWT sendiri mengkritik pihak yang mana:
“Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut perang) itu, merasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah dan mereka berkata: Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini. Katakanlah: Api neraka itu lebih sangat panas(nya) jika mereka mengetahui.” Surah At-Taubah ayat 81.
Jadi mengapa mengkritik yang berusaha?
Dan boikot adalah antara usaha yang boleh dilakukan dalam keadaan sekarang. Selain banyak perkara lain yang boleh dibuat seperti memperkasakan media, membina peribadi-peribadi yang cakna, memperkasakan ekonomi dan sebagainya.

Penutup: Jangan Tidak Mempunyai Perasaan.
Jangan lah kita mudah berbicara, mengkritik rakan kita di Gaza sana, seakan-akan rakyat Palestin itu pula keluar dari negara mereka, serang negara orang lain, bunuh orang tak berdosa, pada 1948 itu. Mereka itu sedangkan, dijajah, diambil hak mereka tanpa kebenaran, dirobohkan rumah-rumah, dirosakkan kebun-kebun.
Kita boleh pula berbangga berjabat tangan dengan penjajah, melukut meminta kemerdekaan dengan mereka, dan menyambutnya setiap tahun pada 31hb Ogos. Balasannya? Balasannya kita perlu ikut sistem mereka, sistem pendidikan mereka, dan banyak perkara. Hasilnya? Hasilnya minda kita masih terjajah, walau nampak negara kita macam sudah merdeka.
Tiba-tiba kita mahu mengkritik manusia yang berjuang bersungguh-sungguh mempertahankan bukan sahaja tanah air mereka, bahkan tanah suci ummat Islam.
Maka kenapa mesti dikritik jihad mereka?
Kita yang duduk di sini boleh berpakaian kemas, putih bersih tanpa debu dan darah, boleh berkopiah rapi yang cantik tanpa pasir dan koyak akibat peperangan, mungkin kita boleh cakap banyak pada mereka yang sedang berjuang, dan sibuk mempersoalkan fasal aqidah, sedangkan isu Palestin bukan semata-mata isu agama. Ianya isu kezaliman yang berlaku ke atas mereka.
Kalau orang kafir dizalimi oleh orang Islam pun kita patut bela orang kafir itu, apatah lagi orang Islam yang dizalimi oleh Zionis yang dilaknat Allah itu. Patut kita rasa malu hendak mengkritik mereka yang berjuang itu.
Janganlah tidak berperasaan.
Mari usahakan apa yang boleh diusahakan.



well said by Hilal Asyraf   \(><)/
i copied diz awesome article from http://langitilahi.com/11116

# to those who dont know bout diz issue, u may check it out here

may Allah bless (^^,)v



No comments:

Post a Comment