Malaysia digemparkan dengan kenyataan seorang ustaz bahawa tiada
jihad di Palestin. Ramai yang share dan menyatakan kebencian terhadap kenyataan
itu. Maki hamun pun ada. Ya, saya memahami betapa kita terkilan dengan
penyataan sedemikian rupa, dalam keadaan Gaza diserang dan bermandikan darah
saban hari. Saat mereka menunjukkan kekentalan mempertahankan bumi pertiwi,
tiba-tiba ada yang berkata bahawa tiada jihad di sana, orang Palestin patut
keluar dari Palestin, seterusnya dikatakan pula usaha boikot itu sia-sia, dan
sebagainya yang jelas tidak mengambil berat akan keadaan semasa.
Justeru ini sekadar coretan saya akan isu ini, sekadar apa yang
saya belajar.
1 – Jika Jihad perlukan 2 kali ganda musuh, maka Badar tidak menjadi jihad buat
Rasulullah SAW dan para sahabat. Kerana tentera Islam pada ketika itu 313 dan
musuh 1000. Ini jelas menunjukkan Idris Sulaiman sudah tersilap mentafsirkan
sepotong ayat Al-Quran:
“Sekarang Allah telah
meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia
mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu
seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang;
dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua
ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang
sabar.”Al-Anfal ayat 66.
Ayat ini bukan ayat arahan. Tetapi cuma Allah nak kata semasa
berperang itu, seorang daripada kita at least kena tumbangkan dua orang musuh,
dengan itu kalau kita berperang dengan angka yang sedikit pun, kita boleh
menang. Ini lebih kepada strategi sahaja. Terbukti apabila Allah SWT sendiri
‘mengubah’ strategi itu. Sebelumnya, angka yang Allah SWT letakkan lebih
tinggi.
“Wahai Nabi, peransangkanlah
orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh
yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh
yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka
dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang
kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.” Surah Al-Anfal ayat 65.
Seorang kena lawan 10 sebelumnya.
Tetapi Allah mahu meringankan kewajipan ini, lantas dikurangkan seorang lawan
dua. Namun yang penting perlu dilihat bahawa keypointnya bukanlah ‘angka’.
Kerana ‘angka’ jelas berubah. Tetapi dalam kedua-dua ayat itu, yang kekal
sinonim adalah ayat ‘sabar’.
Pendek kata, tentera perlu bersabar dalam menumbangkan musuh
walau berapa ramai pun mereka. Jika mereka bersabar, tidak gopoh, mereka kental
dan cekal, pastinya tentera yang lebih ramai pun akan mampu mereka tewaskan.
Ayat ini fasal ‘strategi’. Bukan fasal berapa lawan berapa baru boleh dikira
sebagai jihad.
Justeru kita telah melihat banyak di dalam sejarah Islam selain
Perang Badar, yang musuh lebih besar 2 kali ganda dari tentera Islam.
Perang Uhud – 700 tentera Islam VS 3000 tentera Musyrikin
Makkah.
Perang Khandaq – 3000 tentera Islam VS 10,000 tentera gabungan
Ahzab.
Perang Mu’tah – 3000 tentera Islam VS 200,000 tentera Rom
Byzantine.
Banyak contoh bukan?
Apakah itu semua bukan Jihad?
Angka hanyalah strategi. Jihad adalah tindakan kita dalam
berjuang di atas jalan Allah SWT. Tiada kena mengena dengan angka yang ramai
atau sedikit.
2 – Ustaz tersebut juga berkata seakan-akan di Palestin itu
semberono sahaja peperangannya. Lantas dia melihat tiada apa di sana melainkan
kegagalan.
Sebenarnya jika kita menyelami keadaan di Palestin, kita tahu
HAMAS amat berstrategi. Mereka bukan sahaja mempunyai orang di dalam Palestin.
Mereka ada orang di luar Palestin, seperti Khaled Mesy’al untuk membina
hubungan baik dan mengangkat suara HAMAS dari luas Palestin.
Mereka mempunyai ketua-ketua yang menyusun strategi perang, agar
kekal bertahan di sana. Kita semua tahu apalah yang boleh dibandingkan Gaza
yang kecil itu berbanding Israel yang mempunyai pelbagai teknologi dan telah
memperhambakan Amerika Syarikat itu.
Jika tanpa strategi, pastinya kita tidak akan melihat Gaza masih
ada sekarang.
HAMAS bukan sahaja berperang menggunakan senjata. Mereka juga
bersungguh dalam medan politik. Kerana itu mereka memenangi pilihanraya yang
lepas hingga Ismail Haniyyeh diangkat menjadi Perdana Menteri.
Bahkan tiada siapa boleh cakap yang HAMAS tiada pengintip di
merata tempat sebagai salah satu strategi mereka. Mereka juga giat melatih
pelapis-pelapis baru dari masa ke semasa.
Yang mereka ada hanyalah ‘kegagalan’?
Tidak. Setiap kali mereka mampu bertahan dari dihancurkan oleh
Israel, itu bukankah satu kemenangan? Justeru negara-negara Islam yang lain
mempunyai lebih banyak masa untuk keluar dari kebodohan masing-masing, dan mula
bertindak membela saudara mereka di Gaza sana!
3- Orang Palestin patut meninggalkan Palestin?
Alasannya adalah untuk menyusun strategi?
Inilah pentingnya memahami fiqh semasa. Kita bukan lagi di zaman
orang Islam minoriti. Kita ada angka yang besar di atas muka bumi ini.
Tinggalnya ramai antara kita berdiam diri dan tidak membantu. Kita banyak
negara Islam, tetapi kebanyakannya berdiam diri. Kemudian kita nak orang
Palestin tinggalkan tanah suci itu untuk dicemari Zionis?
Seperti apabila ada gengster pecah masuk rumah kawan kita,
kemudian kita kata pada kawan kita: “Hei, biarlah dia. Kau kena keluar dari
rumah itu.” Begitu? Mustahil bukan?
Kita ramai. Yang patut kita suruh ‘bergerak’ adalah orang-orang
Islam agar mempunyai kesedaran, lantas bergerak membantu sahabat kita di
Palestin. Bukannya kita suruh orang Palestin ‘bergerak’ keluar dari tanah
mereka.
Mengapakah mereka, orang-orang Palestin itu bersungguh
mempertahankan tanah itu, menggadaikan nyawa mereka?
Apakah kita lupa bahawa di sana terdapat Baitul Maqdis, tanah
suci kita?
Apakah hanya kerana Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi telah
terjaga rapi, penuh teknologi, kita boleh mengabaikan Masjidil Al-Aqsa dan
membiarkan ianya ternoda?
Orang di Gaza sana, di Palestin sana, memahami tanggungjawab
mereka untuk mempertahankan tanah itu.
Mereka sedang melaksanakan apa yang patut kita laksanakan,
apabila ada tanah ummat kita dicabuli.
Dan kita mengkritik mereka, seterusnya mencadangkan agar mereka
meninggalkan tanah suci itu?
4 – Boikot adalah tindakan yang tidak bermakna katanya.
Benarkah?
Sekurang-kurangnya, kita berusaha bukan? Ada strategi untuk
memberikan efek kepada ekonomi mereka. Tinggal ramai nak buat atau tidak
sahaja. Maka sepatutnya bukan kita perlekehkan usaha, sepatutnya kita kritik
orang yang tidak mahu bersama-sama berusaha.
Ini seakan-akan bila Rasulullah SAW nak keluar berjihad dan ada
yang tidak mahu pergi kerana panas, maka kita kata – “Sebaiknya tak payah
pergi, sebab panas. Tak logik betul arahan Rasulullah itu!” Seakan-akan begitu
pula. Sedangkan kita sepatutnya mengkritik orang-orang yang memberikan alasan
yang lemah dan tidak mahu berusaha. Lihatlah Allah SWT sendiri mengkritik pihak
yang mana:
“Orang-orang yang ditinggalkan
(tidak ikut perang) itu, merasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang
Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada
jalan Allah dan mereka berkata: Janganlah kamu berangkat (pergi berperang)
dalam panas terik ini. Katakanlah: Api neraka itu lebih sangat panas(nya) jika
mereka mengetahui.” Surah At-Taubah ayat 81.
Jadi mengapa mengkritik yang berusaha?
Dan boikot adalah antara usaha yang boleh dilakukan dalam
keadaan sekarang. Selain banyak perkara lain yang boleh dibuat seperti
memperkasakan media, membina peribadi-peribadi yang cakna, memperkasakan
ekonomi dan sebagainya.
Penutup:
Jangan Tidak Mempunyai Perasaan.
Jangan lah kita mudah berbicara, mengkritik rakan kita di Gaza
sana, seakan-akan rakyat Palestin itu pula keluar dari negara mereka, serang
negara orang lain, bunuh orang tak berdosa, pada 1948 itu. Mereka itu
sedangkan, dijajah, diambil hak mereka tanpa kebenaran, dirobohkan rumah-rumah,
dirosakkan kebun-kebun.
Kita boleh pula berbangga berjabat tangan dengan penjajah,
melukut meminta kemerdekaan dengan mereka, dan menyambutnya setiap tahun pada
31hb Ogos. Balasannya? Balasannya kita perlu ikut sistem mereka, sistem
pendidikan mereka, dan banyak perkara. Hasilnya? Hasilnya minda kita masih
terjajah, walau nampak negara kita macam sudah merdeka.
Tiba-tiba kita mahu mengkritik manusia yang berjuang
bersungguh-sungguh mempertahankan bukan sahaja tanah air mereka, bahkan tanah
suci ummat Islam.
Maka kenapa mesti dikritik jihad mereka?
Kita yang duduk di sini boleh berpakaian kemas, putih bersih
tanpa debu dan darah, boleh berkopiah rapi yang cantik tanpa pasir dan koyak
akibat peperangan, mungkin kita boleh cakap banyak pada mereka yang sedang
berjuang, dan sibuk mempersoalkan fasal aqidah, sedangkan isu Palestin bukan
semata-mata isu agama. Ianya isu kezaliman yang berlaku ke atas mereka.
Kalau orang kafir dizalimi oleh orang Islam pun kita patut bela
orang kafir itu, apatah lagi orang Islam yang dizalimi oleh Zionis yang
dilaknat Allah itu. Patut kita rasa malu hendak mengkritik mereka yang berjuang
itu.
Janganlah tidak berperasaan.
Mari usahakan apa yang boleh diusahakan.
well said by Hilal Asyraf
\(><)/
# to those who dont know bout diz issue, u may check it out here
may Allah bless (^^,)v